Khamis, 2 April 2009

SIAPA LUQMAN AL-HAKIM YANG ANDA TAHU??

D i petik daripada Kitab Bidayah wa al-Nihayah (jilid II, halaman 125-130)
Karangan Ibn Kathir.

Beliau ialah Luqman ibn Anqa’ ibn Saduun. Ada yang menyebut Luqman Ibn Tharan. Al-Suhailiy ada menceritakan tentang Luqman melalui ibn Jarir dan al-Qutaybiy. Menurut al-Suhailiy, Luqman merupakan wakil rakyat bagi penduduk-penduduk Aylah. Penulis berpendapat bahawa beliau merupakan seorang lelaki yang soleh, yang gemar beribadah dan memiliki hikmat-hikmat yang besar. Ada pendapat lain yang mengatakan bahawa beliau ialah seorang qadi pada zaman Nabi Dawud a.s. Al-Abbas berkata bahawa beliau seorang hamba berbangsa Habsyi yang bekerja sebagai tukang kayu.

Yahya ibn Said al-Ansariy telah berkata daripada Said ibn Musayyab yang mengatakan bahawa Luqman berasal dari Sudan, Mesir. Beliau mempunyai bibir seperti unta, dan Allah taala telah menganugerahkan kebijaksanaan (hikmat) kepadanya yang bertaraf rendah daripada seorang nabi. Al-A’mash telah berkata daripada Mujahid, Luqman seorang hamba berkulit hitam, kedua-dua bibirnya besar dan pecah-pecah kakinya. Satu riwayat lain mengatakan kakinya lebar kedua-dua belah.

Daripada Abu Darda yang telah bercerita tentang Luqman al-Hakim, katanya. ”Luqman tidak dikurniakan keluarga dan harta. Tetapi beliau seorang lelaki yang memendam kemarahan, berfikiran panjang, jauh pandangan, dan tidak tidur pada waktu siang. Tidak seorangpun yang pernah melihat beliau meludah, berdehem, membuang air kecil, membuang air besar, mandi, melakukan sesuatu yang sia-sia dan ketawa. Setiap pertuturannya mengandungin hikmah. Beliau pernah berkahwin dan mempunyai anak tetapi kesemuanya meninggal dunia. Beliau tidak meratapi pemergian anak-anaknya. Para pembesar dan pemerintah menjadikan dia sebagai tempat rujukan.”

Sesetengah pendapat mengatakan bahawa Luqman telah dianugerahkan taraf kenabian. Tetapi beliau bimbang tidak dapat memikul amanah tersebut, akhirnya beliau telah memilih kebijaksaaan kerana tanggungjawabnya lebih ringan. Ini merupakan riwayat Qatadah. Menurut pendapat jumhur yang masyhur, Luqman seorang yang sangat bijaksana, seorang ketua dan bukan seorang nabi. Allah s.w.t telah memuji beliau di dalam al-Quran dan menceritakan tentang nasihatnya kepada anaknya yang sangat dicintai.

0 Comments: