Sabtu, 28 Mac 2009

POLIGAMI MENURUT PANDANGAN ISLAM

Setelah meneliti lembaran sejarah sejak dahulu sehingga kini dan melihat masyarakat di dunia pada masa kini satu kesimpulan telah dibuat bahawa poligami merupakan fitrah semula jadi manusia. Ia merupakan fenomena alam dan adat resam yang sama sekali tidak dapat dihapuskan. Walaupun ianya ditentang oleh kebanyakan wanita, tetapi ia tetap suatu hukum syariat yang telah di halalkan oleh Islam. Penentangan kaum wanita adalah kerana mereka melihat kebanyakan kaum lelaki yang berpoligami tidak dapat memberi keadilan kepada Isteri, ini berlaku kerana perkahwinan yang dilakukan adalh bukan berdasarkan syariat dan mengikut sunnah yang telah di ajarkan oleh Rasulullah s.a.w. mereka berpoligami adalah kerana berlandaskan hawa nafsu semata-mata.

Islam sebagai agama terakhir dan kesempurnaannya mengharuskan poligami. Islam telah menyempurnakan segala perkara untuk kepentingan dan kebahagiaan masyarakat serta bertepatan dengan fitrah semula jadi manusia sebab itulah Islam dinamakan agama fitrah kerana perundangannya meliputi setiap aspek kehidupan manusia dari sebesar-besar perkara sehingga kepada sekecil-kecilnya, semua itu diambil kira oleh Islam..
Masyarakat seluruh dunia seharusnya bersyukur kepada Islam berkaitan poligami ini. Hal ini bermula daripada hakikat bahawa Islamlah yang mengawal, mengatur dan menyusun kembali sistem poligami sehingga peraturan yang disediakan oleh Islam berkaitan dengan poligami itu lengkap dan memberikan keadilan kepada setiap yang terlibat sama ada suami atau isteri-isteri.

Islam adalah agama sederhana ia tidak menghalalkan seseorang lelaki mengikut hawa
nafsunya sehingga berkahwin sampai berpuluh malah beratus orang. Ia juga tidak membataskan seseorang lelaki itu berkahwin tidak lebih dari seorang. Cara yang diambil oleh Islam ialah empat. Hal ini telah dijelaskan oleh Allah SWT dalam al-Quran:

3. Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim (apabila kamu berkahwin Dengan mereka), maka berkahwinlah Dengan sesiapa Yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain): dua, tiga atau empat. kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja, atau (pakailah) hamba-hamba perempuan Yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman.(Surah an-Nisa’:ayat 3)

Abu Urwah yang menghimpunkan pendapat beberapa ulamak fikah seperti Dr. Mohammad Yusof al-Qardawi, Dr. Abdul Karim Zaidan berpendapat bahawa walaupun ayat di atas jelas menghalalkan poligami tetapi mereka masih bersepakat mengatakan ia diharuskan atau dihalalkan. Ditegaskan lagi oleh Abu Urwah ia tidak wajib atau tidak sunat.

Implikasi daripada pendapat tersebut walaupun poligami itu dihalalkan ia tidak boleh diperlakukan dengan sewenang-wenangnya bukan sesiapa sahaja yang boleh berpoligami sebaliknya seseorang yang ingin berpoligami mestilah mempertimbangkan beberapa perkara dan mengukur kemampuannya, kalau tidak poligami merupakan satu beban yang bukan menyelesaikan masalah masyarakat, malahan menimbulkan masalah baru.

SYARAT-SYARAT POLIGAMI

1. Berkemampuan Untuk Menanggung Nafkah Isteri-isteri
Suami berkewajipan menanggung nafkah isteri zahir dan batin tidak kira sama ada dia mempunyai seorang isteri atau lebih. Nafkah zahir yang dimaksudkan di sini ialah dari aspek makan-minum, pakaian, kediaman dan perubatan. Nafkah batin pula ialah suami berkeupayaan dalam memberi layanan seks kepada isteri. Di dalam Mazhab Syafi’e, terdapat dua pendapat mengenai kadar pemberian nafkah kepada isteri iaitu :
i. Melihat keadaan suami sahaja tanpa mengambil kira keadaan isteri,
ii. Melihat keadaan kedua-dua suami dan isteri iaitu dinilai menurut kesanggupan suami dan perlu diberi menurut keadaan isteri.

Dalam hal ini pendapat kedua adalah lebih sesuai dan menepati konsep keadilan memandangkan dalam banyak keadaan seseorang suami itu mempunyai isteri yang datang dari berbagai-bagai status kedudukan yang berbeza. Abu al-‘Aynayn dalam buku al-Ziwaj wa al-Talaq fi al-Islam berpandangan bahawa sebarang penambahan boleh diberikan kepada salah satu isteri dalam soal pemberian nafkah. Walaupun begitu ia tidak boleh diamalkan jika boleh membawa kepada perselisihan dan tidak puas hati di antara isteri.

2. Berlaku Adil Kepada Isteri-isteri
Menurut Abu al-‘Aynayn, keadilan bermaksud penyamarataan terhadap semua isteri tanpa wujud pilih kasih di antara mereka. Ia termasuk interaksi yang baik di antara suami isteri yang meliputi perbuatan, tutur kata dan akhlak. Keadilan ini wajib dijelmakan di dalam perkara-perkara ikhtiari dan lahiriah yang melibatkan beberapa aspek iaitu nafkah, pakaian, penempatan, giliran bermalam dan musafir. Perasaan dan kasih sayang pula tidak termasuk di dalam tuntutan keadilan kerana ianya di luar kawalan manusia dan bersifat relatif. Walaupun begitu suami tetap dilarang daripada menzahirkan secara jelas tentang perbezaan ini.
Firman Allah SWT dalam surah al-Nisa’, ayat 129 :

129. Dan kamu tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri kamu sekalipun kamu bersungguh-sungguh (hendak melakukannya); oleh itu janganlah kamu cenderung Dengan melampau (berat sebelah kepada isteri Yang kamu sayangi) sehingga kamu biarkan isteri Yang lain seperti benda Yang tergantung (di awan-awan); dan jika kamu memperbaiki (Keadaan Yang pincang itu), dan memelihara diri (daripada perbuatan Yang zalim), maka Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

3. Adil Dalam Menyediakan Kediaman
Sebagaimana pemberian nafkah, suami juga perlu menyediakan tempat tinggal isteri baik dalam keadaan monogami atau poligami. Apabila berpoligami, kediaman isteri seboleh-bolehnya hendaklah diasingkan sebagai suatu inisiatif untuk mengelakkan perselisihan keluarga dan perasaan cemburu menular di kalangan isteri. Menurut ‘Abd al-Nasir Tawfiq al-‘Attar dalam bukunya Ta’addud al-Zawjat min al-Nawahi al-Diniyyah wa al-Ijtima’iyyah wa al-Qanuniyyah, pengasingan ini bergantung kepada kemampuan seseorang suami yang mana tidak semestinya disediakan sebuah rumah untuk setiap isteri bahkan dibolehkan juga disediakan bilik-bilik berasingan dalam satu rumah yang sama. Walaubagaimanapun dari segi psikologi, menempatkan isteri-isteri dalam rumah yang sama akan memudahkan mereka berselisih faham yang boleh melukakan perasaan.

4. Adil Dalam Giliran Bermalam
Suami wajib menentukan kadar giliran bermalam yang adil di antara isteri-isterinya tanpa mengira sama ada isterinya itu isteri muda, isteri tua dan sebagainya. Suami berdosa jika memberikan giliran lebih banyak kepada salah seorang isteri berbanding dengan isterinya yang lain. Walaubagaimanapun ‘Abd al-Nasir Tawfiq al-‘Attar berpandangan kelonggaran boleh diberikan pada malam-malam awal perkahwinan dengan isteri baru tanpa perlu diqadha balik kepada isteri tua. Ini berdasarkan kepada hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan dari Anas r.a. dengan katanya,afhumnya :“ Di antara sunnah ialah apabila seorang lelaki berkahwin dengan anak dara lalu dia bermalam dengannya selama tujuh malam. Sekiranya janda, selama tiga malam ”. (Riwayat Muslim)

Di samping itu keadilan dalam giliran malam ini masih juga relatif sifatnya dan perlu dinilai mengikut situasi seseorang isteri. Ia boleh dilonggarkan apabila ada kerelaan daripada mana-mana isteri tersebut. Ini berdasarkan kepada hadis Nabi SAW yang diriwayatkan dari al-Bukhari :Mafhumnya :
“ Sawdah telah memberikan giliran beliau kepada Aisyah dan Rasulullah telah
bermalam bersama Aisyah dengan giliran beliau dan Sawdah ”.

5. Adil Dalam Musafir
Munurut pendapat Imam Syafie, suami wajib membuat undian di antara isteri-isteri sekiranya beliau menginginkan salah seorang dari mereka menemaninya bermusafir. Dengan itu suami tidak wajib menggantikan giliran bermalam kepada isteri yang sepatutnya mendapat hak pada masa musafirnya. Berbeza keadaannya jika undian tidak dibuat dan tiada kerelaan mana-mana isteri, suami wajib mengqadha giliran bermalam kepada isteri yang tidak memperolehi haknya pada masa musafir tersebut. Perkara berkenaan undian ini disebut oleh Aishah r.a. menerusi hadis riwayat al-Bukhari :Mafhumnya :“ Nabi SAW apabila keluar bermusafir, baginda akan menjalankan undian di antara isteri-isterinya ”.

Bagaimanapun mazhab Hanafi berbeza pandangan dalam hal ini dengan mengatakan suami tidak wajib membuat undian untuk memilih isteri yang menemaninya ketika musafir.

0 Comments: