Khamis, 2 April 2009

NASIHAT-NASIHAT LUQMAN AL-HAKIM KEPADA ANAKNYA


1. wahai anakku, janganlah engkau mensyirikkan Allah, sesungguhnya perbuatan syirik itu merupakan kezaliman yang besar.

2. Allah s.w.t juga telah mendedahkan wasiat Luqman tentang kedua ibu bapa, menyatakan tanggungjawab mereka terhadap anak, dan menyuruh berbuat baik kepada mereka berdua, walaupun mereka berdua daripada kalangan yang kafir. Tetapi si anak dilarang mengikut jejak langkah dan arahan dalam agama keduanya.

3. Luqman menasihatkan anaknya supaya melaksanakan sembahyang dengan cara yang paling sempurna dan tepat pada waktu-waktunya, serta menghindari diri daripada perkara-perkara yang boleh membatalkannya. Kemudian beliau berpesan kepada anaknya supaya berbuat baik dan melarang daripada melakukan kejahatan. Nasihat ini dilakukan mengikut kemampuan yang ada. Sekiranya beliau tidak mampu melakukan dengan perbuatan, maka dilakukan dengan menggunakan percakapan dan hati (tidak reda dengan perbuatan mungkar).

4. Dan janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong lagi membanggakan diri. Maksudnya tidak dengan berjalan pantas akan dapat membelah bumi dengan negeri dan tidak dengan menghentakkan kaki dapat menembusinya serta tidaklah dengan kesombongan, keangkuhan dan mengangkat kepala dapat menandingi ketinggian gunung-ganang. Dalam sebuah Hadith menceritakan kisah seorang lelaki yang sedang berjalan dan bangga dengan pakaiannya, tiba-tiba Allah menenggelamkannya kedasar bumi. Oleh itu, dia terbenam didalamnya sehingga hari kiamat. Dalam hadith lain disebut, ”jauhilah kamu daripada melabuhkan pakaian kerana ia menimbulkan sombong takbur yang sangat dibenci Allah”

5. juga rendahkanlah suaramu semasa berkata-kata
Maksud ayat daripada Surah Luqman ini ialah apabila berkata-kata jangan sekali-kali meninggikan suara kerana seburuk-buruk suara ialah suara keldai. Dalam sebuah hadith dalam Sahih al-Bukhariy dan Muslim menyarankan supaya membaca, ”aku berlindung kepada Allah daripada syaitan yang direjam” ketika mendengar suara keldai di waktu malam ketika melihat syaitan. Dilarang meninggikan suara sekiranya tidak berfaedah. Terutamanya ketika bersin, disunatkan merendahkan nada bersin dan menutup muka sebagaimana perbuatan Rasulullah s.a.w. meninggikan suara ketika berhajat seperti azan, peperangan, dan kebakaran serta seumpamanya dibolehkan.

6. al-Awzaiy daripada Musa ibn Sulayman daripada al-Qasim ibn Mukhaymarah bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda, ”wahai anakku, sesungguhnya kebijaksaaan itu meletakkan orang miskin pada taraf raja-raja.

7. wahai anakku, apabila kamu menghampiri kediaman sesuatu kaum, ucaplah salam. Kemudian duduklah ditempat yang telah disediakan oleh mereka. Jangan mulakan perbualan sehingga mereka mulakannya. Sekiranya mereka suka berzikir maka sertailah mereka, jika sebaliknya maka jauhilah mereka dan sertailah kelompok lain.

8. wahai anakku, bertakwalah kepada Allah, orang lain tidak akan tahu engkau takut kepada Allah s.w.t hanya untuk dihormati, sedangkan hatimu menyimpang daripada kebenaran.

9. janganlah engkau terlalu menyayangi orang jahil kerana dia akan menganggap kamu bersetuju dengan perbuatannya. Janganlah engkau menghina sesuatu yang dibenci oleh orang bijaksana kerana dia akan terus meninggalkanmu.

10. ketahuilah bahawa kekuasaan berada pada muluk orang-orang yang bijaksana. Mereka tidak berkata-kata melainkan dengan apa yang dikurniakan Allah s.w.t

11. wahai anakku, janganlah engkau menyesal kerana berdiam sahaja. Sesungguhnya percakapan itu berharga perak, sedangkan berdiam diri berharga emas.

12. wahai anakku, hindarilah dirimu daripada kejahatan, nescaya ia akan menjauhimu. Sesungguhnya kejahatan itu untuk sejahat-jahat makhluk.

13. Wahai anakku, jauhilah engkau daripada terlalu suka kerana kesukaan menjauhkan seseorang dengan saudaranya, dan melenyapkan kebijaksanaan sebagaiman lenyapnya kesukaan. Wahai anakku, jauhilah kemarahan yang keterlaluan membinasakan hati-hati orang yang bijaksana.

14. Wahai anakku, pilihlah majlis-majlis yang mengingati Allah, sertailah mereka, sekiranya engkau seorang yang berilmu engkau dapat memanfaatkan ilmumu. Sekiranya engkau seorang yang bodoh mereka akan mengajarmu. Allah akan merahmatimu dan juga mereka. Wahai anakku janganlah engkau menyertai majlis-majlis yang tidak mengingati Allah, sekiranya engkau seorang yang berilmu, engkau tidak dapat memanfaatkannya. Sekiranya engkau seorang yang bodoh, engkau akan bertambah bodoh. Allah akan murka kepadamu dan kepada mereka.

15. Wahai anakku janganlah beriri hati dan tanding menandingi kerana ia meluaskan medan pertumpahan darah orang yang beriman. Pertumpahan darah dianggap oleh Allah sebagai pembunuhan, bukan kematian.”

16. anakku, pertuturanmu hendaklah baik, wajahmu hendaklah manis, sayangilah orang yang suka bersedekah.

17. Wahai anakku, janganlah engkau makan makanan yang tidak bersih. Bermesyuaratlah dalam urusanmu yang berbentuk ilmu.

JADIKANLAH IA SEBAGAI PANDUAN, SESUNGGUHNYA ALLAH TIDAK MENILAI SESEORANG HAMBA ITU MELALUI RUPA PARAS ATAU BENTUK FIZIKAL, TETAPI ALLAH MENILAI SIFAT TAKWANYA YANG TINGGI..

0 Comments: