Isnin, 24 November 2008

MENGENAL SIFAT DIRI

Malu dalam islam

Malu mempunyai pengertian yang besar dalam islam. Sifat malu adalah sebahagian daripada iman. Mereka yang telah hilang sifat malu adalah orang yang tipis imannya. Ini kerana malu dan iman berjalan beriringan. Jika salah satu ditinggalkan, maka kedua-duanya akan hilang.
Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah saw ada bersabda bermaksud: "Iman itu ada lebih 60 cabang. Dan sifat malu adalah sebahagian daripada cabang iman."
Malu atau haya dalam bahasa arab berasal daripada perkataan hayat yang bermaksud kehidupan. Ia mencakupi sifat malu, memelihara aib diri dan orang lain, kesopanan, harga diri dan bersikap jujur dalam menjaga dan memelihara maruah kerana Allah.
Islam menggariskan sifat malu itu perlu ada pada diri setiap muslim sebagai perisai kepada orang yang beriman setiap kali hendak melakukan pekerjaan atau perbuatan dosa. Mereka yang benar-benar beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dan hari kiamat adalah mereka yang mempunyai sifat malu yang teramat sangat setiap kali ingin membuat dosa, biarpun ia bukanlah sesuatu yang disengajakan.
Rasulullah mengajar umat Islam mengenai perkara pentingnya seseorang menghiasi dirinya dengan sifat malu. Dan betapa malunya seorang yang bergelar muslim tetapi tidak mempunyai sifat malu sebagai hamba kepada Allah.
Abdullah ibn Umar meriwayatkan bahawa Rasulullah berjalan melintasi seorang pemuda yang memarahi saudara lelakinya yang sangat pemalu. "engkau seorang yang sangat pemalu dan aku bimbang sifat malumu itu akan memusnahkan dirimu". Mendengar kata-kata lelaki itu, Rasulullah bersabda, "Tinggalkanlah ia, kerana sifat pemalu itu sebahagian daripada iman". (Bukhari)
Kedua-dua hadis diatas membuktikan bahawa sifat pemalu bukan dikhususkan untuk kaum wanita tetapi mesti ada pada kaum lelaki yang beriman kepada Allah s.w.t dan hari akhirat. Sifat pemalu adalah lambang taqwa (takutkan Allah) dan lambang ketinggian iman seseorang Muslim itu.

0 Comments: