Isnin, 24 November 2008

mari mengenal tokoh pejuang Islam

Sultan Muhammad al-Fateh (Pembuka Kota Konstantinopel)
Terlebih dahulu saya ingin memohon kemaafan sekiranya tulisan ini ada kelemahan dan kesilapan tulisan dan maklumatnya. tulisan ini adalah assingment saya dalam subjek "Dunia Islam abad ke 19". Semoga ia memberi sedikit pengetahuan tentang pembukaan wilayah Islam yang paling hebat..

Tersebut di dalam tarikh Islam, bahawasanya tatkala kota Madinah al-Munawawarah yang dikepung oleh Yahudi dalam perang Khandak. Ketika Rasulullah s.a.w menghentakkan tembilangnya hendak memecahkan batu untuk membuat parit pertahanan (khandak) itu maka memancarlah cahaya api kerana pertemuan antara besi dan batu keras, maka ketika itu baginda mengucapkan takbir. Kejadian itu berlaku sebanyak tiga kali dan tiga kali jugalah baginda mengucapkan takbir. Lalu para sahabat bertanya kenapa baginda mengucapkan takbir ketika memancar cetusan api itu tiga kali. Baginda menjawab bahawa pada cetusan api kali pertama baginda melihat bayangan istana putih di negeri Yaman, dan pada cetusan api yang kedua baginda melihat bayangan Iwan Kisra di Tanah Parsi dan pada cetusan api yang ketiga baginda melihat mahligai raja-raja di Konstantinopel. Akhirnya meskipun ketika itu baginda Rasulullah s.a.w dan para sahabat berada dalam kesulitan yang mengancam nyawa, namun suatu waktu kekuasaan Islam akan meluas juga sampai ke hujung Arab Selatan, ke Utara dan menyebarang ke Konstantinopel yang ketika itu masih menjadi pusat yang kuat di bawah Kerajaan Rom Timur (Byzantine). (Hamka. 1997)

Abu Qubail menuturkan dari Abdullah bin Amr bin Ash, “Suatu ketika kami sedang menulis di sisi Rasulullah s.a.w, tiba-tiba baginda ditanya, “Mana yang dikalahkan lebih dahulu, Konstantinopel atau Romawi?” Baginda menjawab, “Kota Herakliuslah yang akan dikalahkan lebih dulu.” Maksudnya adalah Konstantinopel.” [H.R. Ahmad, Ad-Darimi, Al-Hakim]


Biodata Sultan Muhammad II ( Al-Fatih)( 833H-886H/1429M-1481M)

Sultan Muhammad al-Fatih dilahirkan pada bulan Rejab tahun 833H/ April 1429M. Merupakan putera kepada Sultan Murad II. Pada masa ayahnya menjadi sultan, Muhammad di lantik menjadi gabenor di Maghnisia. Pada tahun 845H/Februari 1451M baginda menaiki takhta menggantikan ayahandanya Sultan Murad II ketika berusia 22 tahun. Sultan Muhammad al-Fatih mempunyai kepakaran dalam bidang ketenteraan, Sains, Matematik dan menguasai enam bahasa pada ketika berumur 21 tahun. Baginda boleh bertutur dalam bahasa Parsi, Arab, Yunani, Salafi dan menjadi pembantu dalam mengembangkan ilmu Islam. Baginda dikunjungi oleh para ulama’, sasterawan, penyair dan telah menganugerahkan kepada mereka sebaik-baik penghargaan. (Ensiklopedia Dunia, jilid 14. 2005)
PEMBUKAAN KOTA KONSTANTINOPEL

Sultan Muhammad II lebih terkenal dengan gelaran “al-Fatih” (penakluk) kisahnya merupakan mutiara dalam sejarah kerajaan Bani Uthmaniah dan dalam sejarah Islam umumnya. Bahkan menjadi pembuka pintu kepada perubahan perpindahan sejarah dunia dari zaman tengah kepada zaman baru kerana bagindalah yang menakluk Kota Konstentinopel tempat kedudukan kerajaan Rom Timur atau Byzantine beratus tahun dahulu. Ayahandanya Sultan Mahmud telah mewasiatkan supaya baginda membuka Kota Konstantinopel, akhirnya Sultan Muhammad al-Fatih berjaya membuka Kota Konstantinopel pada tahun 857H/1453M.

Penaklukan keatas Kota Konstentinopel telah dilakukan berulang kali oleh pahlawan Islam sejak zaman sahabat-sahabat Nabi, percubaan pertama dilakukan pada zaman pemerintahan Muawiyah bin Abu Sufyan pada tahun 668M yang dipimpin oleh Yazid bin Muawiyyah, pada masa inilah seorang sahabat Rasulullah s.a.w sendiri iaitu Abu Ayyub Al-Ansari yang menyediakan rumah kediamannya buat menyambut Nabi waktu berhijrah ke Madinah meninggal dunia ketika tentera Islam mengepung kota tersebut, beliau telah mewasiatkan supaya mengebumikan jasadnya di kota itu supaya beliau boleh mendengar derapan tapak kaki tentera Islam yang masuk ke kota itu suatu hari nanti. Kemudian pada zaman Bani Abbas semasa pemerintahan Harun ar-Rasyid. Siri penaklukan keatas kota ini diteruskan lagi pada zaman pemerintahan Kerajaan Uthmaniah yang dilakukan oleh Bayazid iaitu datuk Sultan Muhammad al-Fatih sendiri dan di ikuti oleh ayahandanya Sultan Murad. Siri penaklukan ini tidak membuahkan hasil selama 800 tahun sehinggalah Sultan Muhammad al-Fatih menaiki takhta pemerintahan kerajaan Uthmaniah. (Hamka. 1977)

Dengan benteng Rumili Hissari yang dibina itu tidak mungkin lagi Konstantinopel mendapat bantuan alat senjata atau kepentingan lain dari Laut Hitam. Ketika membuat benteng, baginda yang masih muda itu turut bekerja dan benar-benar menunjukkan semangat keperwiraannya. Baginda membuka baju dan serbannya dan mengangkat batu dan pasir sehingga ulama’-ulama’dan pasha-pasha terpaksa bekerja juga. Dengan sikapnya yang demikian maka bertambahlah semangat seluruh tentera dan pekerja yang di datang dari seluruh pelusuk kerajaan Uthmaniah. Tindakan ini telah mencemaskan Raja Byzantine sehingga dikirimkan wakilnya untuk bertemu Sultan Muhammad al-Fatih dan tidak lagi menuntut gaji tersebut, malah memohon supaya pekerjaan membuat benteng itu diberhentikan. Tetapi wakil raja tersebut telah di bunuh dan dengannya menunjukkan bahwa Sultan Muhammad al-Fatih telah mengisytiharkan perang terhadap Byzantine.


Pada 21 Sya’ban 856H / Ogos 1452M Sultan Muhammad al-Fatih bersama tenteranya mengelilingi kubu pertahanan Kota Konstantinopel selama tiga hari untuk memeriksa kekuatan dan kelemahan kota tersebut. Kemudian baginda kembali semula ke Adrianopel. Pada bulan Oktober baginda mengutuskan seorang ketua perangnya iaitu Tarkhan Pasha untuk menemui penguasa negeri Mora iaitu Thomas dan Demitrius, kedua-duanya merupakan saudara kandung Kaisar Byzantine. Utusan tersebut adalah untuk memberitahu niat Sultan Muhammad al-Fatih untuk menakluki Konstantinopel dan menasihati keduanya supaya berdiam diri dan tidak membantu raja jika mereka ingin selamat.
setelah sembilan bulan kota megah yang menjadi pusat peradaban dan kebudayaan Kristian itu dikepung, Sultan Muhammad al-Fatih bersama gurunya Syeikh Aaq Syamsuddin, orang kanannya Halil Pasha dan Zaghanos Pasha merencanakan strategi peperangan dari pelbagai penjuru kota dengan berbekal 150 000 tentera. Baginda membawa bersama para ulama dan pakar motivasi ke medan perang bagi membakar semangat jihad tenteranya. Sebaik sahaja menghampiri dinding kubu Kota Kostantinople, Baginda mengarahkan dilaungkan Azan dan solat berjemaah. Tentera Byzantine gentar melihat 150,000 tentera Islam bersolat di belakang pemimpin mereka dengan laungan suara takbir memecah kesunyian alam.


Tetapi Kota Konstantinopel telah dijaga dengan rapi, pihak musuh telah menutup jalan air yang merupakan laluan utama untuk masuk ke Kota Konstantinopel. Di sebelah Barat kota tersebut dikelilingi dengan benteng, manakala diri arah Selatan laut Marmara pasukan laut Sultan Muhammad al-Fatih harus berhadapan dengan pasukan laut Genoa pimpinan Justinian dan dari arah Timur pasukan laut Sultan Muhammad al-Fatih mesti melalui selat sempit Golden Horn yang sudah dilindungi dengan rantai besar hingga kapal perang yang kecil pun tidak dapat menembusinya.
.
Akhirnya baginda memutuskan untuk melalui jalan darat iaitu melalui selat Golden Horn yang merupakan pertahanan yang agak lemah. Baginda mendapat satu akal iaitu dengan memindahkan kapal-kapal melalui darat untuk menghindari rantai penghalang. Berkat ketakwaan Sultan Muhammad dan tenteranya Allah memberi bantuan dan pertolongan, baginda memerintahkan supaya memindahkan kapal melalui jalan darat sejauh tiga batu pada waktu malam. Iaitu dengan cara melicinkan papan-papan dengan minyak dan menolak kapal-kapal di atas kayu tersebut, hanya dalam masa yang singkat sahaja 70 buah kapal dapat dipindahkan dan memasuki wilayah selat Golden Horn. Pada siangnya terkejutlah penduduk melihat keadaan tersebut dan benteng yang ada tidak lagi memberi faedah. Taktik ini diakui sebagai antara taktik peperangan (warfare strategy) yang terbaik di dunia oleh para sejarawan Barat sendiri. Kapal-kapal itu kemudiannya membedil dinding pertahanan belakang kota. (Alwi Alatas.2005 dan Hamka. 1977). Akhirnya dengan strategi yang teratur dan penggunaan meriam sebagai alat penyerangan yang dahsyat dengan memuntahkan peluru-pelurunya ke atas kota pertahanan itu. Tentera Sultan Muhammad al-Fatih dapat memasuki kota tersebut.
SAAT KEMENANGAN

Pada waktu Zohor tanggal 20 Jamadil Awwal 857H/25Mei 1453M, maka masuklah Sultan Muhammad II ke dalam kota itu dengan penuh kebesaran dan diiringi oleh para ulama’ dan orang-orang besar. Laungan Takbir “Allahu Akbar” terdengar dikiri kanan jalan, tempat bala tenteranya berdiri menyambut kedatangan pahlawannya. Baginda sendiri mengenderai kudanya yang bernama “jambulat” dengan langkah yang tenang dan tenteram dan penuh rasa bahagia. Tidak kelihatan kesombongan di raut wajah baginda. Bahkan setelah sampai dihadapan gereja besar Aya Sophia maka baginda turun dari kudanya dan sujud kebumi mengucapkan syukur kepada Allah dan diambilnya segenggam pasir dan diletakkan diatas kepalanya sendiri sebagai tanda merendahkan diri kepada Allah.. Baginda menukar namanya kepada Islambol (Islam keseluruhan) . Semenjak peristiwa inilah Baginda diberi gelaran “Al Fatih” iaitu yang menang kerana kejayaannya membebaskan Konstantinople. (Hamka: 1977)


SEBAIK-BAIK RAJA DAN SEBAIK-BAIK TENTERA

Rahsia kejayaan Sultan Muhammad al-Fatih menakluki Kota Kostantinopel adalah kerana mendapat karamah dan bantuan Allah. Diceritakan bahawa para tentera Sultan Muhammad al-Fatih tidak pernah meninggalkan solat wajib sejak baligh dan separuh daripada mereka tidak pernah meninggalkan solat tahajjud sejak baligh. Begitu juga dengan baginda sultan yang tidak pernah meninggalkan solat wajib, tahajjud dan solat sunat rawatib sejak baligh hinggalah saat baginda meninggal dunia. Benarlah apa yang dikatakan oleh Rasulullah s.a.w tentang sebaik-baik pemimpin dan sebaik-baik tentera. (Wikipedia Bahasa Melayu, ensiklopedia bebas)

Pada kali pertama solat Jumaat hendak didirikan, timbul pertanyaan siapa yang layak menjadi imam. Baginda memerintahkan kesemua tenteranya termasuk dirinya bangun lantas bertanya, “Siapa di antara kita sejak baligh hingga sekarang pernah meninggalkan solat fardu walau sekali sila duduk!”. Tiada seorang pun yang duduk, kerana tidak seorang pun di antara mereka pernah meninggalkan solat fardu. Baginda bertanya lagi, “Siapa di antara kita yang sejak baligh hingga kini pernah meninggalkan solat sunat rawatib sila duduk!”. Sebahagian daripada tenteranya duduk.
Kemudian Baginda bertanya lagi, “Siapa di antara kamu sejak baligh hingga ke saat ini pernah meninggalkan solat tahajud walaupun satu malam, sila duduk!”. Kali ini semuanya duduk, kecuali Sultan Muhammad Al-Fatih sendiri. Baginda tidak pernah meninggalkan solat fardhu, Solat Sunat Rawatib dan Solat Tahajud sejak baligh . Inilah dia anak didikan Syeikh Shamsuddin Al Wali. Bagindalah sebaik-baik raja yang telah diisyaratkan oleh Rasulullah saw di dalam Hadisnya itu.


KESAN SELEPAS JATUHNYA KONSTANTINOPEL

Jatuhnya Kota Konstantinopel merupakan satu kejayaan yang mengagumkan bagi umat Islam dan harus diakui kemuliaan kedudukan mereka sebagai Pahlawan Islam yang hebat. Sebelumnya kota itu merupakan kota yang paling lama dikuasai oleh kerajaan Byazantine. Dengan penaklukan kota tersebut oleh pahlawan Islam maka berakhirlah zaman tengah yang gelap dan berganti dengan zaman kesedaran atau Renaissance di Benua Barat.

KESIMPULANNYA:

Kejayaan Sultan Muhammad al-Fatih dalam menakluk Kota Konstantinopel adalah kerana kebijaksanaan baginda dalam merancang strategi peperangan. Kejayaan tersebut juga adalah kerana pertolongan Allah di sebabkan oleh kezuhudan dan kebaikan akhlak Sultan Muhammad al-Fatih sendiri dan para tenteranya. Usia baginda yang masih muda bukanlah menjadi penghalang kepada kemenangan dan kejayaan dalam memimpin pasukan tentera dan mengatur pentadbiran negara.

Kehebatan baginda dalam memimpin sebuah negara pada usia remaja seharusnya menjadi teladan dan iktibar kepada kita hari ini sebagai golongan mahasiswa yang berpendidikan tinggi. Mencontohi semangat dan akhlak mulia baginda dan tenteranya dalam menetang musuh. Begitu juga dengan amalan sunat yang dilakukan dengan istiqamah menjadi salah satu faktor pertolongan Allah yang tidak dijangka mengikut akal manusia. Sesungguhnya perkara yang mustahil bagi pandangan manusia tidak akan mustahil bagi Allah taala yang Maha Agung. Wallahua’lam.




0 Comments: